fbpx

Hutang Negara VS Hutang Sendiri

Berita mengenai hutang negara yang telah mencecah RM1 trilion dilihat menaikkan semangat patriotisme rakyat Malaysia untuk sama-sama memikul tanggungjawab bagi melunaskan hutang tersebut.

Individu persendirian mula menghantar wang tunai dan cek kepada Jabatan Akauntan Negara untuk membantu menyelesaikan kemelut kewangan yang dihadapi kerajaan.

Memahami hasrat rakyat yang membuak-buak ini, kerajaan menubuhkan Tabung Harapan Malaysia sebagai saluran rasmi untuk orang ramai dan syarikat swasta menyalurkan sumbangan mereka. Tidak sampai 24 jam selepas ia dilancarkan, kutipan Tabung Harapan telah pun melebihi RM7 juta ringgit.

Daripada perkembangan ini, kita dapat membuat kesimpulan bagaimana rakyat begitu bimbang memikirkan kemungkinan negara akan berdepan dengan kebankrapan atau krisis ekonomi yang lebih berat akibat daripada hutang kerajaan sehingga mereka sanggup mengeluarkan wang daripada poket masing-masing.

Namun, saya tidak begitu bimbang dengan hutang negara secara umumnya. Ini kerana daripada jumlah hutang RM1.087 trilion sehingga akhir tahun lalu, hanya RM686.8 bilion daripadanya (iaitu 50.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar atau KDNK) adalah hutang rasmi kerajaan.

Jika dicampur dengan jumlah RM199.1 bilion lagi iaitu jaminan kerajaan terhadap hutang yang dibuat oleh institusi awam lain, peratusan hutang berbanding KDNK ialah 65.4 peratus.

Dalam ekonomi, tiada satu nilai yang dianggap ‘optimum’ untuk hutang negara namun 65.4 peratus itu bukanlah angka yang membimbangkan kerana 90 peratus daripadanya adalah hutang domestik.

Selain itu, nisbah hutang tersebut boleh diterima untuk negara seperti Malaysia kerana ekonominya sedang berkembang dan dijangka tumbuh antara 5.5 hingga 6.0 peratus tahun ini.

Ini bermakna pendapatan negara pada masa hadapan dijangka mampu digunakan untuk melangsaikan hutang-hutang ini dengan lebih cepat. Selain itu, harga minyak mentah dunia juga semakin meningkat, sekali gus menaikkan hasil negara.

Apa yang saya lebih bimbangkan ialah hutang yang dibuat oleh rakyat sendiri, iaitu hutang isi rumah. Inilah yang selalunya menjadi punca sebenar krisis kewangan sesebuah negara.

Apatah lagi apabila membaca laporan akhbar kira-kira dua bulan lalu yang menyebut bahawa terdapat rakyat Malaysia yang sanggup membuat pinjaman peribadi hanya semata-mata untuk menyambut perayaan Aidilfitri. Jumlah pinjaman yang dibuat untuk tujuan tersebut pada tahun ini mencecah lebih RM37.5 juta!

Hutang seperti ini mempunyai kadar faedah sekitar 12 hingga 18 peratus setahun dan tempoh bayaran balik selama dua tahun.

Laporan itu turut menyebut bahawa permohonan pinjaman yang diterima oleh kira-kira 1,500 syarikat pemberi pinjam wang berlesen khusus untuk menyambut Aidilfitri meningkat sebanyak 20 hingga 30 peratus pada tahun ini.

Ini belum lagi mengambil kira hutang isi rumah lain seperti pinjaman perumahan dan kenderaan, pinjaman pendidikan, hutang peribadi yang digunakan untuk perkahwinan, hutang kad kredit, hutang membeli perabot rumah.

Bayangkan seorang individu yang mempunyai semua jenis hutang yang saya sebutkan di atas. Berapakah jumlah pendapatan boleh guna individu tersebut jika gajinya setiap bulan perlu dihabiskan untuk membayar balik kesemua hutang-hutang ini?

Kadar hutang isu rumah di Malaysia berada pada tahap 84.3 peratus berbanding KDNK pada Disember 2017. Ini jauh lebih tinggi daripada kadar purata hutang isi rumah sebanyak 63 peratus di negara maju dan 21 peratus di negara membangun, seperti dinyatakan dalam Laporan Kestabilan Kewangan Dunia oleh Tabung Kewangan Dunia (IMF) pada Oktober 2017.

Sejarah telah menunjukkan bahawa peningkatan yang ketara dalam tahap hutang isi rumah mampu mencetuskan krisis ekonomi yang amat buruk, seperti kegawatan ekonomi dunia pada 2008 yang dianggap paling teruk dalam tempoh 80 tahun.

Beberapa tahun sebelum itu, bank-bank di Amerika Syarikat memberikan pinjaman perumahan dan kredit dengan mudah termasuk kepada peminjam yang mempunyai rekod bayaran yang buruk sehingga meningkatkan kadar hutang isi rumah rakyatnya.

Kejatuhan teruk harga rumah di negara itu bermula pada 2006 menyebabkan peminjam tidak mampu membayar semula hutang-hutang mereka dan akhirnya menyebabkan tertumbangnya bank-bank terkemuka di negara itu, sehingga sistem kewangan dunia juga ikut sama jatuh terjelepuk!

Benar, hutang merupakan antara cara untuk melancarkan roda-roda ekonomi sesebuah negara. Ia membolehkan individu membuat pelaburan besar seperti membeli rumah atau menyambung pengajian dengan menggunakan pendapatan masa hadapan mereka.

Namun tahap hutang isi rumah perlu dikawal. Kajian IMF menunjukkan peningkatan nisbah hutang isi rumah berbanding KDNK dalam masa jangka pendek mampu memberi tujahan kepada pertumbuhan ekonomi dan peluang pekerjaan. Bagaimanapun, kesan yang sebaliknya dapat dilihat selepas tiga hingga lima tahun.

Ini kerana pada mulanya, isi rumah membuat lebih banyak pinjaman untuk membeli sesuatu yang baharu seperti kediaman dan kenderaan. Sudah pasti ini menaikkan ekonomi apabila pengeluar kenderaan dan syarikat pemaju perumahan menggaji lebih ramai pekerja untuk memenuhi permintaan pasaran.

Lama-kelamaan, isi rumah yang mempunyai hutang terlalu tinggi ini terpaksa mengurangkan perbelanjaan untuk membayar semula hutang-hutang mereka. Apabila jutaan penduduk berdepan dengan kesukaran untuk membayar hutang yang terlalu tinggi, ia akan merencatkan pertumbuhan ekonomi negara.

Bagaimana untuk menyelesaikan masalah hutang isi rumah yang tinggi di Malaysia? Di sinilah setiap pihak perlu memainkan peranan masing-masing.

Pertama, kerajaan perlu memperkenalkan peraturan yang lebih baik dalam sektor kewangan. Hutang tidak boleh diberikan sewenang-wenangnya kepada individu yang tidak layak. Syarat pinjaman yang lebih ketat perlu dikenakan kepada peminjam untuk melindungi mereka sendiri daripada berdepan dengan masalah kewangan yang akhirnya akan menjejaskan ekonomi negara.

Selain itu, dasar dan undang-undang baharu perlu diperkenalkan untuk memastikan harga rumah tidak terlalu tinggi. Ini kerana pinjaman perumahan merupakan komponen terbesar dalam hutang isi rumah. Apabila harga hartanah meningkat, orang ramai perlu meminjam jumlah yang lebih besar untuk membeli sebuah rumah.

Dasar perdagangan yang lebih terbuka juga perlu diamalkan dalam industri automotif bagi memastikan harga kereta menjadi lebih rendah berbanding sekarang. Ini kerana kenderaan selalunya merupakan komponen pinjaman kedua terbesar selepas hartanah.

Kedua, syarikat sewajarnya menawarkan gaji pada kadar yang lebih baik dan sesuai dengan keadaan ekonomi dan kos sara hidup pada hari ini. Sektor swasta perlu bertungkus lumus untuk menjadikan perniagaan mereka lebih produktif supaya pengurangan kos dan keuntungan tambahan dapat disalurkan dalam bentuk manfaat kepada pekerja terutama dalam bentuk upah yang lebih tinggi.

Selain itu, manfaat dalam bentuk biasiswa untuk pengajian universiti juga merupakan antara cara terbaik untuk syarikat menyumbang kepada penurunan hutang isi rumah. Ini dapat membantu mengurangkan kebergantungan kepada pinjaman pendidikan yang terpaksa diambil oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

Ketiga, kita sendiri sebagai individu yang berhutang perlu memastikan pinjaman yang dibuat adalah setara dengan pendapatan yang diterima. Kita perlu celik kewangan dan belajar untuk menyimpan berbanding mengambil terlalu banyak pinjaman peribadi.

Contohi penduduk di negara yang mengamalkan pengurusan hutang isi rumah dengan lebih baik, seperti Jepun di mana kadar hutang isi rumah di negara itu berkurangan dalam tempoh 2000 hingga 2015.

Ini kerana rakyat Jepun cenderung untuk mengumpulkan bayaran pendahuluan yang lebih besar sebelum membuat pinjaman perumahan. Pemilik rumah di Jepun juga tidak menggunakan rumah mereka sebagai pajakan atau membuat pembiayaan semula (refinancing) bagi mendapatkan pinjaman tambahan atau wang tunai.

Tidak cukup dengan itu, kita perlu mencari lebih banyak pendapatan tambahan untuk melangsaikan hutang sedia ada.

Dalam dunia teknologi hari ini, ada jutaan cara untuk menambah pendapatan hanya dengan bermodalkan telefon pintar. Saya sendiri menjadi tenaga pengajar yang mengajak orang ramai untuk melabur saham kerana saya tahu betapa mudahnya untuk kita berjual beli saham pada hari ini dengan menggunakan telefon pintar.

Kesimpulannya, daripada kita terlalu menumpukan kepada kedudukan hutang negara, lebih baik kita memperbaiki hutang sendiri dahulu kerana kedudukan kewangan rakyat yang sihat akan membantu memutarkan roda ekonomi negara dengan lancar.

Banyak itu saya kongsikan kepada anda yang pasti bukan perkara satu minit ianya memerlukan masa. Jika anda mencari jalan penyelesaian bagaimana untuk hadap situasi getir ini apa kata anda bersama saya berjumpa serta belajar dengan secara live. Saya bukan superman atau ironman yang mampu selamatkan dunia tapi saya percaya pada ilmu dan kepakaran yang saya miliki selama 21 tahun insyaallah bakal berubah segalanya. Nak tahu lebih lanjut apa kata klik di sini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel Berkaitan

Billionaire Pertama Melancong Ke Angkasa Lepas

Media sosial dan arus perdana mulai kecoh semalam apabila Pengasas Virgin Group, Sir Richard Branson berjaya menjadi perintis dalam industri pelancongan angkasa lepas dan meninggalkan pesaing beliau seperti Jeff Bezos

PKP 3.0, Peluang Terbaik Asah Kemahiran

Insan yang cemerlang adalah mereka yang tahun ini lebih baik daripada tahun lepas. Malah, mereka juga akan memastikan hari ini lebih baik daripada semalam. Inilah yang menjadikan mereka terbilang, kerana

Scroll to Top