fbpx

Manusia Dan Robot Saling Memerlukan. Kenapa?

Zaman dahulu, negara membangun seperti Malaysia sering ketinggalan dalam menggunapakai teknologi terkini. Kita melihat dan mengagumi dari jauh bagaimana teknologi canggih ini digunakan oleh negara luar dan hanya beberapa tahun selepas itu, barulah kita dapat merasai teknologi sama.

Antara puncanya ialah kekurangan tenaga kerja berpengetahuan dalam bidang teknologi yang pada masa itu lazimnya dipelopori negara-negara maju di Barat.

Selain itu, kos untuk mewujudkan dan menggunakan teknologi canggih ini selalunya terlalu tinggi dan menjadi beban kepada negara membangun seperti Malaysia yang perlu mengutamakan pembangunan infrastruktur asas dalam perbelanjaannya.

Namun, semua ini telah berubah dengan kewujudan teknologi internet dan globalisasi. Hari ini padang permainan sudah sama rata.

Mana-mana negara yang mampu menghasilkan teknologi canggih – seperti kecerdasan buatan atau artificial intelligence (AI) – dapat mengembangkan dan memasarkannya dengan mudah di seluruh dunia melalui hubungan perdagangan yang rapat antara kebanyakan negara di dunia ekoran daripada kesan globalisasi.

 

 

Percambahan idea yang wujud daripada interaksi ini akhirnya membuka pintu kepada sebuah dunia baharu. Buktinya hari ini, kita sedang berada di permulaan sebuah revolusi teknologi yang digelar sebagai Revolusi Industri Keempat. Ia disebut-sebut sebagai revolusi luar biasa yang akan merobah sama sekali cara hidup masyarakat dunia.

Jika kita singkap kembali lembaran sejarah dunia, telah tercetus tiga revolusi industri yang mengubah haluan dunia. Revolusi Industri Pertama pada lewat abad ke-18 menggunakan air dan tenaga daripada wap untuk menjenterakan pengeluaran produk. Revolusi Industri Kedua pula menggunakan kuasa elektrik untuk menghasilkan produk secara besar-besaran. Ini disusuli dengan Revolusi Industri Ketiga yang menggunakan teknologi maklumat dan elektronik untuk mengautomasikan pengeluaran.

Revolusi Industri Keempat ditakrifkan sebagai revolusi yang akan menggunakan gabungan teknologi yang mengaburkan sempadan antara dunia sebenar, digital dan biologi.

Sehingga hari ini, tiada siapa yang dapat memberi jawapan tepat mengenai kesan gelombang Revolusi Industri Keempat ke atas peradaban dunia di masa hadapan namun apa yang jelas, Malaysia perlu mempersiapkan diri bermula dari saat ini supaya negara kita tidak tenggelam apabila dilanda arus revolusi ini yang sedang mengalir dengan sangat deras.

Kita dapat lihat betapa teknologi-teknologi masa depan ini – walaupun pada waktu ini dianggap masih berada pada tahap mentah – telah mampu membantu memudahkan proses membuat keputusan dan penjanaan kekayaan di semua peringkat bermula daripada rakyat biasa, syarikat, kerajaan sehinggalah ke masyarakat global.

Selain itu, potensinya dari segi ekonomi terlalu besar. Menurut Forum Ekonomi Dunia, revolusi ini akan menghasilkan nilai sehingga US$3.7 trilion (RM15.4 trilion) menjelang 2025. Bayangkan, berbilion manusia akan memiliki peranti mudah alih yang membolehkan mereka mendapatkan akses kepada pengetahuan dan menjana kekayaan.

Berapa banyak industri dan perniagaan baharu yang akan tumbuh dengan kewujudan teknologi seperti AI, robotik, Internet of Things, kenderaan pandu sendiri, percetakan 3-D, teknologi nano, bioteknologi, penyimpanan tenaga dan pengkomputeran kuantum?

Saya percaya, Revolusi Industri Keempat ini jika dimanfaatkan dengan betul akan mampu menghapuskan kemiskinan tegar di seluruh dunia dan melahirkan masyarakat yang makmur, bukan sahaja kaya dari segi material tetapi juga pengetahuan.

Namun potensi ini hanya boleh dituai jika kita berlari sama laju dengan pertumbuhan eksponen yang ditunjukkan oleh Revolusi Industri Keempat.

Ada negara yang mengambil langkah awal dengan mula menguji keupayaan mereka untuk membangunkan sebuah masyarakat futuristik. Arab Saudi, contohnya, sedang membangunkan sebuah bandar pintar dinamakan Neom yang akan menggunakan sepenuhnya teknologi pintar untuk penjanaan ekonomi.

Jiran kita Singapura pula telah memulakan inisiatif Smart Nation untuk mentransformasi negara itu menggunakan teknologi bagi memudahkan kehidupan rakyatnya dan membantu mempertingkatkan ekonomi negara.

Di Malaysia, cabaran terbesar yang dihadapi ialah kurangnya kesedaran mengenai konsep Revolusi Industri Keempat itu sendiri dan manfaat yang mampu diberikannya.

Sedangkan Malaysia seharusnya menjadi antara pencipta atau pengguna paling awal dalam Revolusi Industri Keempat memandangkan kita telah memiliki infrastruktur yang diperlukan.

Dari tahun 2011 hingga 2015, kerajaan telah membuat pelaburan yang besar dalam infrastruktur pengangkutan, digital, dan tenaga selari dengan peningkatan permintaan terhadap keperluan tersebut. Dalam tempoh itu, kerajaan telah memasang sejauh 55,801 kilometer gentian optik di bawah Inisiatif Jalur Lebar Negara, sekali gus membantu melonjakkan kadar penembusan jalur lebar isi rumah kepada 70.2 peratus.

Hari ini, kadar penembusan internet di negara ini meningkat kepada 85.7 peratus, menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia. Kadar penembusan telefon bimbit pula adalah 131.7 peratus setakat suku ketiga tahun lalu.

Tidak cukup dengan itu, dalam tempoh Rancangan Malaysia Kesebelas seperti yang diumumkan YAB Perdana Menteri baru-baru ini, ketersambungan digital akan diperluas lagi melalui pelaksanaan infrastruktur jalur lebar di luar bandar untuk meningkatkan ketersambungan di lebih banyak kawasan dan isi rumah.

Ini bermakna hampir kesemua isi rumah di Malaysia telah pun terhubung dengan internet dan memiliki telefon pintar, iaitu keperluan paling utama untuk Revolusi Industri Keempat. Apa yang perlu dipupuk hanyalah budaya inovasi serta adaptasi dalam kalangan rakyat.

Ini boleh dilakukan jika kita mempunyai dasar yang jelas bagi menghalakan fokus negara kepada usaha pemantapan kemahiran dan infrastruktur yang diperlukan untuk Revolusi Industri Keempat.

Di bawah dasar itu juga, kerajaan perlu mengkaji masalah yang mungkin timbul akibat revolusi tersebut supaya kita dapat bersedia dari sekarang. Ini kerana Revolusi Industri Keempat akan membawa bersamanya pelbagai jenis teknologi pengganggu yang akan mengubah hampir kesemua industri dalam sesebuah negara sehingga memaksa transformasi menyeluruh dilakukan.

Contohnya, pasaran buruh mungkin terjejas apabila robot menggantikan manusia. Mereka yang tiada kemahiran akan tercicir kerana dunia futuristik lebih memerlukan tenaga kerja berkemahiran tinggi. Justeru, transformasi yang diperlukan hendaklah dirangka dari sekarang untuk mengelakkan timbulnya konflik di masa hadapan.

Perancangan untuk menghadapi revolusi ini perlu dibuat segera kerana ia akan melanda dengan sangat cepat. Kita sudah pun dapat menyaksikan permulaan Revolusi Industri Keempat di sekeliling. Contoh paling mudah ialah kereta pandu sendiri yang telah beberapa tahun berada di pasaran.

Selain itu, pembantu maya yang dijana oleh teknologi AI seperti yang terdapat di dalam telefon pintar kita dan pelbagai jenis perisian serta aplikasi yang membantu manusia membuat keputusan adalah prebiu kepada dunia yang akan wujud di bawah Revolusi Industri Keempat.

Robot dan manusia akan saling memerlukan di masa hadapan dalam kehidupan seharian. Ini bukan sains fiksyen tetapi ini adalah hakikat yang perlu diterima dengan hati terbuka.

Tugas kita pada hari ini ialah memastikan Revolusi Industri Keempat digunakan sebagai peluang untuk melahirkan masyarakat yang lebih inklusif dan saksama kerana merekalah aset sebenar negara.

#DDNK

#DDNKSquad

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel Berkaitan

Billionaire Pertama Melancong Ke Angkasa Lepas

Media sosial dan arus perdana mulai kecoh semalam apabila Pengasas Virgin Group, Sir Richard Branson berjaya menjadi perintis dalam industri pelancongan angkasa lepas dan meninggalkan pesaing beliau seperti Jeff Bezos

PKP 3.0, Peluang Terbaik Asah Kemahiran

Insan yang cemerlang adalah mereka yang tahun ini lebih baik daripada tahun lepas. Malah, mereka juga akan memastikan hari ini lebih baik daripada semalam. Inilah yang menjadikan mereka terbilang, kerana

Scroll to Top