fbpx

Siapa Yang ‘Menjamin’ Pelaburan Anda?

Kebanyakan daripada kita melabur dalam unit amanah saham seperti ASB kerana kita rasa selamat. Pelaburan seperti itu dijamin dan dilindungi oleh kerajaan.

Bagaimana pula pelaburan dalam saham syarikat yang tiada kaitan dengan kerajaan, apatah lagi syarikat di luar negara? Siapa yang menjamin pelaburan kita? Menjamin di sini bermaksud siapa yang memastikan pengurusan syarikat tidak melakukan perkara-perkara yang boleh membahayakan pelaburan kita?

Sebenarnya setiap syarikat awam (iaitu yang disenaraikan di bursa saham) wajib memiliki Lembaga Pengarah, atau selalunya disebut sebagai BOD, singkatan untuk Board of Directors. Mereka ini merupakan sekumpulan individu yang dicalonkan dan dilantik oleh pemegang saham sendiri untuk mewakili pemegang saham syarikat, iaitu pelabur seperti kita.

Tugas BOD adalah menggariskan dasar pengurusan korporat setiap syarikat dan membuat keputusan dalam isu-isu utama bagi menjaga kepentingan syarikat. Secara mudahnya, mereka ini adalah penjaga syarikat itu, dan tentu sekali apabila bercakap mengenai perniagaan, antara tugas utama mereka adalah memastikan kewangan syarikat tersebut kukuh supaya pelabur tidak rugi.

Jumlah Pengarah yang dilantik berbeza mengikut syarikat, tetapi selalunya kita akan lihat BOD ini dianggotai antara tujuh hingga lapan orang individu. BOD yang seimbang dan ideal selalunya mempunyai jumlah pengarah dalaman dan pengarah bebas yang hampir sama.

Pengarah dalaman adalah individu yang menjaga kepentingan syarikat, kakitangan dan pelabur seperti CEO syarikat itu sendiri atau pemegang saham terbesarnya.

Pengarah bebas pula adalah individu yang tidak terlibat dengan operasi dalaman syarikat namun mempunyai pengalaman luas dalam bidang perniagaan. Mereka ini diperlukan untuk memberi pandangan objektif mengenai hala tuju syarikat serta untuk menyelesaikan pertelingkahan secara adil kerana mereka tidak berat sebelah.

Jangan tak tahu, fungsi dan tanggungjawab BOD termaktub dalam undang-undang dan mereka wajib menjalankan amanah untuk menjaga kepentingan pemegang saham.

Lihat sahaja apa yang sedang berlaku dalam Uber, iaitu antara syarikat sangat bernilai di dunia. Ia merupakan contoh paling jelas bagaimana BOD akan campur tangan untuk memastikan kepentingan syarikat dan pemegang saham terjamin.

Pengasas syarikat itu, Travis Kalanick terpaksa meletakkan jawatan sebagai CEO Uber atas desakan BOD syarikat itu yang melihat Kalanick sebagai tidak lagi layak untuk menerajui syarikat itu. Keputusan itu diambil selepas BOD berpandangan Uber sedang berdepan krisis kepimpinan.

Tahun-tahun lalu Uber terpalit dengan banyak skandal, termasuk kelakuan CEO itu sendiri yang dianggap agresif dan tidak profesional serta dakwaan bahawa Uber tidak mengendahkan laporan kakitangannya mengenai budaya gangguan seksual di syarikat itu.

Akibat daripada itu, Lembaga Pengarah Uber melantik bekas Peguam Negara Amerika Syarikat untuk menjalankan siasatan terhadap syarikat itu. Berdasarkan penemuan siasatan, Uber disyorkan supaya menilai semula peranan dan tanggungjawab Kalanick dalam syarikat itu serta mempertingkatkan pengawasan Lembaga Pengarah terhadap syarikat.

Bayangkan, pengasas syarikat gergasi teknologi bernilai lebih US$60 bilion juga tidak terlepas daripada pemantauan BOD yang hanya mempunyai satu matlamat: memastikan syarikat itu tidak jatuh tersungkur disebabkan tindakan yang dianggap tidak wajar, terutama dari segi undang-undang.

Inilah jaminan yang diberikan kepada kita sebagai pelabur. Sekarang, selain pelaburan selamat seperti ASB, anda bolehlah mula melabur dalam saham syarikat-syarikat biasa kerana ia juga selamat.

KENYATAAN PENAFIAN:
Perkongsian ini bertujuan pendidikan sahaja. Perkongsian ini tidak ada kena mengena dengan program skim cepat kaya. Ia tidak melibatkan sebarang aktiviti mengumpul duit serta tidak akan memberitahu anda saham mana yang patut dibeli atau tidak. Sebarang saham-saham yang dikongsikan adalah bertujuan pembelajaran sahaja. Perubahan harga yang lepas tidak menjanjikan keuntungan di masa akan datang. Sebarang tindakan atau keputusan atau jual, beli saham adalah keputusan sendiri.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Artikel Berkaitan

Billionaire Pertama Melancong Ke Angkasa Lepas

Media sosial dan arus perdana mulai kecoh semalam apabila Pengasas Virgin Group, Sir Richard Branson berjaya menjadi perintis dalam industri pelancongan angkasa lepas dan meninggalkan pesaing beliau seperti Jeff Bezos

PKP 3.0, Peluang Terbaik Asah Kemahiran

Insan yang cemerlang adalah mereka yang tahun ini lebih baik daripada tahun lepas. Malah, mereka juga akan memastikan hari ini lebih baik daripada semalam. Inilah yang menjadikan mereka terbilang, kerana

Scroll to Top